Manuskrip Kebaya
PROLOG
Mentari mula menyusur hilang di ufuk barat. Beberapa unggas dan serangga yang menjadi habitat hutan bagaikan terhenti berbunyi pada malam ini seperti kebiasaannya. Mereka bagaikan memahami ada sesuatu yang bakal terjadi pada malam yang penuh duka ini. Yang tinggal hanyalah salakan serigala yang bersahutan tanpa lelah dalam kehitaman malam. Setelah penat keringat mula tumbuh di serata tubuhnya, dia duduk dan mengambil udara secukupnya. Sudah lama dia ingin menjejaki tanah perkuburan perempuan tua itu bagi melunaskan sesuatu. Dia tidak mahu kedatangannya ke hutan ini hanya sia-sia.
Kepekatan malam ini mula beransur hilang digantikan dengan sinaran cahaya bulan. Dia tunduk terbongkok-bongkok sambil menjinjing cangkul lalu menuju ke destinasinya. Sukar melihat dengan jelas keadaan di situ kerana terpaksa meredah rimbunan dahan pokok. Tetapi dia sedaya upaya untuk sampai ke tanah perkuburan yang ingin dia selongkar. Ada sesuatu.
Beberapa jam kemudian, barulah dia terduduk. Satu kubur yang sudah lama dicari akhirnya berjaya dia temui. Senyumannya diukir perlahan-lahan seraya mengenggam cangkul dengan erat. Kini sudah tiba masanya dia menggali kubur itu…
Deruan angin tiba-tiba meyerubu ke belakang semasa ingin mendekati kubur itu. Dia berpaling. Kosong. Gelap. Kesunyian menghambat dirinya keseorangan. Perlahan-lahan dia menoleh ke hadapan semula.
“Aku akan hapuskan keturunan kau! Aku tahu roh kau tidak pernah aman! Disebabkan kau, ahli keluarga aku mati! Aku tiada ayah semasa aku dalam kandungan lagi. Tidak cukup dengan itu, kau ambil arwah Zarina, ibu saudara aku sendiri! Sebelum aku ambil tanah dan tulang kau, aku mahu meminta izin dari kau dahulu. Hahahaha…. Aku rasa kau tak akan dengar permintaan aku ini. Biar… Aku mulakan!!! Arghhhhhhhhhh!” Tangannya terus mencangkul lapisan demi lapisan tanah kubur. Berkali-kali dia mengali namun tetap tidak tembusi ke dalam. Pelik.
Deruan angin sekali lagi menyerbu ke belakang. Namun dia biarkan. Ke peringkat akhir ini dia tidak akan berpatah balik. Jika sekalipun dia bersemuka dengan sebarang kemungkinan, dia akan hadapinya.
“Arghhhhh! Sikit aje lagi!” Dia tetap berusaha untuk mengali hingga matanya melihat kain putih yang menyelubungi mayat orang tua itu.
Dia menyeka peluh yang menitik di dahi. Tuala di poket dikeluarkan lalu mengelap peluh yang mengalir di muka. Dia melepaskan cangkul lalu membuka ikatan kain kapan putih yang sudah kotor. Ketakutan itu bukan penghalang untuknya. Dia kentalkan hati dan memekakkan telinga apabila terdengar suara perempuan yang tiba-tiba sahaja menangis, merintih seakan mengalami kesakitan. Tangannya mengeluarkan plastik hitam dari beg belakang. Tanpa berlengah dia mengambil tengkorak dan rangka badan untuk dimasukkan ke dalam plastik hitam. Turut tidak ketinggalan, dia mengambil secengkam tanah kubur dan di masukkan ke dalam botol untuk diberikan kepada Tok Alang. Semuanya sudah cukup syarat.
Akhirnya usahanya berjaya. Sekurang-kurangnya dia tidak balik dengan tangan kosong. Demi dendam kesumatnya terhadap keturunan keluarga Marisa membuatkan dia membutakan hatinya melanggar perintah dan larangan Allah. Sekali dia memandang ke hadapan tidak semudah itu dia akan berpaling ke belakang. Dia tekad. Selesai semuanya, dia berangkat pergi meninggalkan kubur itu berkeadaan seperti itu.
Salakan serigala kembali bersahutan. Kubur yang telah disemadikan elok di situ oleh seseorang telah diselongkar tanpa kasihan. Guruh tiba-tiba menjelmakan suaranya menandakan hutan ini bakal dihujani. Beberapa saat kemudian hujan mula membasahi muka bumi dan memasuki tanah perkuburan itu. Bila-bila masa sahaja tanah kubur itu akan hilang seusia dengan peredaran tahun.
Mss 200.
Word 50K
Comments
Post a Comment